Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Kerajaan Kedah panggil penganjur konsert kontroversi pada malam Nisfu Syaaban

Kerajaan Kedah panggil penganjur konsert kontroversi pada malam Nisfu Syaaban

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengambil maklum mengenai kontroversi melibatkan konsert dikenali sebagai ‘Choii underground music tour Kedah 2.0’ di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam Sabtu yang jatuh pada malam Nisfu Syaaban.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbiran ini memberi permit atau kelulusan untuk konsert itu diadakan.

Menurutnya, terdapat permohonan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri namun dalam permohonan itu, langsung tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu.

“Penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan Kerajaan Negeri sahaja dan itulah yang diluluskan.

“Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi Kerajaan Negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur,” katanya pada Ahad.

Jelasnya, Kerajaan Negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan perkara ini dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu.

“Mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara, akan disenaraihitamkan daripada terlibat dalam apa jua program di negeri ini pada masa akan datang,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com