Saturday, 2, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13: sejuta rumah mampu milik akan dibina, jamin kehidupan bandar berdaya huni

RMK13: sejuta rumah mampu milik akan dibina, jamin kehidupan bandar berdaya huni

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan sasaran membina sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 2026 hingga 2035 sebagai usaha jangka panjang menjamin akses rakyat kepada kediaman selesa, selamat dan berpatutan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata pelaksanaan agenda itu akan dibuat melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemaju swasta.

“Sehingga tahun 2025, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap, manakala 235,000 unit lagi sedang dibina,” katanya, menzahirkan komitmen kerajaan untuk menjadikan pemilikan rumah sebagai satu realiti bagi lebih ramai rakyat.

Perdana Menteri turut menggariskan beberapa program utama yang kini giat dilaksanakan, antaranya Program Residensi MADANI, Program Perumahan Penjawat Awam, Program Bantuan Bina Baharu Rumah dan Program Perumahan Mampu Milik.

Bagi meningkatkan keupayaan rakyat memiliki rumah sendiri, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan diperluaskan.

“Inisiatif ini akan membantu rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau dokumen kewangan lengkap, seperti pekerja gig dan peniaga kecil,” katanya.

Peralihan kepada penggunaan teknologi moden seperti Industrialised Building System (IBS) dan Building Integrated Management (BIM) akan menjadi elemen penting dalam mempercepatkan proses pembinaan dan menurunkan kos.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan ketahanan rumah, tetapi turut menyumbang kepada kelestarian dan kecekapan dalam projek pembinaan skala besar, termasuk perumahan awam.

Sebagai simbol bandar contoh, Kota MADANI di Putrajaya akan diperluas sebagai model perumahan mampu milik yang menzahirkan konsep ‘umran hadhari’, iaitu pembangunan berasaskan keseimbangan antara fizikal dan nilai.

“Rakyat bukan sekadar memiliki tempat tinggal, tetapi menikmati kehidupan yang sejahtera dalam sebuah bandar yang menyatukan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak, serta teknologi dengan kemanusiaan,” ujar Anwar.

Komitmen dalam sektor perumahan ini mencerminkan tekad kerajaan untuk tidak hanya membina rumah, tetapi membentuk komuniti yang inklusif, berdaya tahan dan harmoni.

Dengan pelaksanaan menyeluruh seperti digariskan dalam RMK13, kerajaan berharap semua lapisan rakyat mampu menikmati hak kepada tempat tinggal yang bermaruah selari dengan aspirasi MADANI dan kemajuan negara menjelang 2035.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com