Sunday, 3, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13 fokus infrastruktur rakyat, RM20 bilion untuk tebatan banjir dan akses jalan

RMK13 fokus infrastruktur rakyat, RM20 bilion untuk tebatan banjir dan akses jalan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pelaksanaan 103 projek tebatan banjir di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh kemudahan rakyat dan infrastruktur awam bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko serta kesan bencana banjir yang semakin kerap berlaku, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Antara projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang bakal dilaksanakan termasuk di Sungai Langat dan Sungai Buloh di Selangor; Sungai Golok di Kelantan; Sungai Gemencheh di Negeri Sembilan; Sungai Baru di Melaka; beberapa lembangan sungai utama di Johor dan Pahang; serta di Bandaraya Kuching, Sarawak.

“Kerajaan juga akan menambah baik sistem amaran awal menggunakan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan penduduk lebih bersedia menghadapi bencana,” ujar Perdana Menteri.

Dalam usaha memperkukuh keterhubungan serantau, beberapa projek infrastruktur berskala besar turut diteruskan, termasuk menaik taraf kemudahan rentas sempadan seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang; serta Kompleks CIQ di Sabah dan Sarawak.

Jambatan Rantau Panjang-Sungai Kolok yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, serta Pelabuhan Darat Perlis juga akan dinaik taraf sebagai laluan dagangan penting. Selain itu, rangkaian jalan raya sempadan yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia turut diberi perhatian.

Rangkaian pengangkutan antara negara pula diperluas menerusi pembangunan RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura, satu langkah strategik untuk menyokong mobiliti dan pertumbuhan ekonomi rentas negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, sistem pengangkutan E-ART di Wilayah Iskandar dan Projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang akan diteruskan demi merapatkan jurang wilayah serta memperkukuh jaringan ekonomi tempatan.

Di peringkat lebuh raya, beberapa laluan utama akan dinaik taraf termasuk Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara-Machap di Johor dan laluan Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.

Turut diumumkan ialah pelaksanaan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama di Pahang dan Kelantan, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, serta Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.

Menurut beliau, projek pembinaan dan penaiktarafan jalan luar bandar sejauh 2,800 kilometer turut menjadi sebahagian agenda RMK13 bagi menjamin kesamarataan akses dan mobiliti, khususnya di kawasan pedalaman.

Antara laluan yang terlibat termasuk jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau di Kapit, Sarawak; jalan dari Jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di Bagan Datuk, Perak; dan laluan Pos Sinderut di Lipis, Pahang.

“Pembangunan infrastruktur secara menyeluruh ini bukan sekadar membina jalan dan jambatan, tetapi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta pemerkasaan kehidupan rakyat,” kata Anwar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com