Monday, 22, September, 2025
Utama Nasional ASEAN puji usaha Malaysia jayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

ASEAN puji usaha Malaysia jayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar ASEAN menyambut baik kejayaan Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Malaysia dalam meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja, serta memuji peranan aktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudah cara rundingan yang membawa kepada gencatan senjata.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, para menteri menyifatkan mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin lalu sebagai langkah penting ke arah kestabilan serantau dan manifestasi keberkesanan pendekatan diplomatik ASEAN.

“Kami memuji peranan Malaysia dalam memudah cara dialog dua hala yang membawa kepada gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand,” menurut kenyataan itu.

Para menteri turut menyuarakan keyakinan terhadap semangat muhibah yang ditunjukkan oleh kedua-dua negara dan mengharapkan pelaksanaan sepenuhnya serta berkesan terhadap semua keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas berkenaan.

“Kami menggalakkan Kemboja dan Thailand menyelesaikan isu ini secara damai mengikut undang-undang antarabangsa, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, serta dalam semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan baik.

“Kami berharap gencatan senjata yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak akan dilaksanakan sepenuhnya dengan niat yang ikhlas,” katanya.

Mesyuarat itu juga menyaksikan sokongan penuh ASEAN terhadap tawaran Malaysia untuk menyelaras pasukan pemerhati daripada negara anggota bagi mengesahkan dan memantau pelaksanaan gencatan senjata secara bebas dan telus.

Menteri-Menteri Luar turut mengiktiraf peranan Amerika Syarikat (AS) sebagai penganjur bersama mesyuarat tersebut serta mengambil maklum penyertaan aktif China dalam menyokong penyelesaian damai terhadap situasi semasa.

Hasil mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi meredakan ketegangan yang memuncak sejak 24 Julai lalu.

Gencatan senjata berkuat kuasa lewat 28 Julai itu menamatkan pertempuran yang tercetus di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan antara kedua-dua negara.

Kemboja dan Thailand memiliki sejarah panjang pertikaian sempadan melibatkan kawasan sepanjang 817 kilometer, yang sebahagiannya masih belum ditentukan secara rasmi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com