Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional Didakwa abai Rokhimah hingga dikecam netizen, Zakat Kedah beri penjelasan

Didakwa abai Rokhimah hingga dikecam netizen, Zakat Kedah beri penjelasan

oleh Ammar Haziq
Rokhimah di hadapan rumahnya yang tular sebelum ini.

FOTO/TEKS LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH

ZAKAT TAK PEDULI?

Susulan isu tular mengenai seorang penerima bantuan zakat bernama Rokhimah Ismail oleh media tempatan baru-baru ini, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak di atas keprihatinan dalam isu ini.

Kesan daripada isu yang tular ini, ramai netizen yang mengecam dengan kata-kata kesat terhadap agensi-agensi bantuan negeri terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah seolah-olah tidak pernah ada sekelumit usaha untuk mengagihkan zakat para pembayar dengan telus dan amanah.

Untuk makluman semua, cik Rokhimah Ismail, 67 tahun belum pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak. Beliau sebelum ini yang tinggal bersama saudara-maranya juga mempunyai beberapa buah rumah lain milik keluarga yang cukup dengan kemudahan asas serta boleh didiami berhampiran dengan rumah uzur yang ditularkan tersebut.

Ada di antara rumah tersebut yang masih tidak berpenghuni dan telah dijadikan rumah sewa lengkap dengan kelengkapan lain seperti elektrik dan air.Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Makngah Rokhimah telah mengambil keputusan untuk kembali ke rumah uzur tersebut dan tinggal di sana.

Susulan keputusan tersebut, Makngah Rokhimah juga telah berkali-kali dipujuk oleh ahli keluarga untuk berpindah ke rumah yang lebih elok dan selesa berhampiran tersebut namun ditolak beliau.

Pihak LZNK turut berkesempatan bertemu dengan anak saudara Makngah Rokhimah iaitu En. Shariman.

Menurut beliau, “Kami dah cuba memujuk mak ngah untuk tinggal dirumah lain milik keluarga tapi mak ngah masih berkeras nak tinggal disitu. Saya bagi pihak keluarga memohon supaya orang ramai tidak salah sangka dengan berita yang diviralkan di media sosial kerana sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada imej kami sekeluarga.” katanya.

Selain itu, LZNK juga telah menawarkan pilihan kepada beliau untuk berpindah dan tinggal di sebuah Pondok Pengajian yang berada di bawah seliaan LZNK yang lengkap dengan kemudahan asas dan pendidikan namun tawaran tersebut turut ditolak beliau.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Makngah Rokhimah adalah merupakan penerima bantuan kewangan LZNK secara bulanan sebanyak RM200 bermula daripada tahun 2018 sehingga 2020 selain pernah menerima bantuan kewangan zakat sekaligus berjumlah RM300.00 pada Disember tahun lalu.

Beliau juga menerima bantuan makanan ‘Food Bank’ LZNK melalui Penolong Amil dan Imam Kariah Masjid bagi meringankan beban beliau.Selain itu, Bantuan Warga Emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah juga turut diterima beliau sebanyak RM500.00 sebulan.

Hasil siasatan bersama anak saudara beliau juga, Makngah dan keluarga mempunyai tanah sawah yang diberi sewa sebanyak RM1,700.00 dan dibayar secara giliran kepada 6 orang adik-beradik yang lain termasuk beliau.

Kawasan rumah Rokhimah beserta 6 buah rumah milik beliau dan ahli keluarga sahaja sebenarnya telah mencecah nilai RM1.7 juta.

Menurut En Shariman juga, anggaran nilai tapak hartanah yang didiami Makngah Rokhimah beserta 6 buah rumah milik beliau dan ahli keluarga sahaja sebenarnya telah mencecah nilai RM1.7 juta.

Walau bagaimanapun, pihak LZNK bersyukur hasil rundingan semula pihak LZNK bersama Makngah Rokhimah dan ahli keluarga beliau pagi tadi, Makngah Rokhimah akhirnya bersetuju untuk berpindah ke rumah berhampiran milik mereka yang lebih selamat untuk didiami.

LZNK sentiasa komited dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat dalam masa yang sama perlu memastikan ia selari dengan ketetapan hukum syarak serta garis panduan asnaf yang sebenar.Sehubungan itu, pihak LZNK amat menghargai keprihatinan semua yang amat mengambil berat dengan isu-isu yang melibatkan institusi zakat.

Harapan kami agar setiap maklumat yang diterima harus disemak dahulu sebelum ditular meluas di media sosial bagi mengelakkan daripada timbulnya fitnah kepada asnaf mahupun institusi zakat sendiri.Dalam kita ghairah memberi komen, cacian dan cercaan kepada semua pihak, alangkah baiknya sekiranya kita menahan jari jemari kita dengan menyiasat dan bertabayyun terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang terlibat.

Sesungguhnya institusi agama ini tidak akan berdiri teguh jika bukan dengan sokongan semua saudara-saudara Islam kita yang sama-sama berganding bahu menunjukkan keprihatinan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Jika anda terjumpa asnaf atau ingin mendapatkan kepastian atau menyemak status asnaf yang dibantu oleh LZNK, anda boleh memuat turun aplikasi Zakat On Touch di telefon masing-masing atau menghubungi kami di talian 04-7331740, whatsapp 019-4181740 atau emelkan aduan anda di aduan@zakatkedah.com.my.

Terima kasih.

Lembaga Zakat Negeri Kedah

3 Februari 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com