Sunday, 10, August, 2025
Utama Nasional Malaysia sedia hantar pemantau ASEAN

Malaysia sedia hantar pemantau ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara anggota ASEAN menyatakan kesediaan menghantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja jika menerima permintaan rasmi daripada kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan semasa di kawasan sempadan itu masih terkawal dan dipantau secara rapi menerusi penggunaan satelit serta koordinasi Atase Pertahanan Malaysia bersama rakan sejawat ASEAN.

“Setakat ini, kita sudah maklumkan bahawa Malaysia bersedia menghantar (pasukan pemantau). Dalam rundingan saya dengan ketua-ketua ASEAN, semuanya sepakat untuk turut serta jika diminta oleh Thailand dan Kemboja.

“Keadaan masih terkawal, satelit memantau, dan Atase Pertahanan Malaysia menyelaras bersama pegawai pertahanan Thailand,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai kesiapsiagaan Malaysia menghantar pasukan pemantau ke kawasan berkenaan susulan ketegangan dua negara jiran itu.

Anwar berkata, sebarang keputusan lanjut termasuk keperluan kehadiran fizikal pemantau atau penyertaan tetap ASEAN hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang berakhir 7 Ogos ini.

“Justeru, kita tunggu keputusan rasmi pada 7 Ogos,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa ketua tentera serta pegawai tinggi ketenteraan Thailand dan Kemboja kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas usaha menyelaras perbincangan penting itu.

Tegasnya, Malaysia komited membantu proses damai dan berharap mesyuarat GBC dapat memuktamadkan mekanisme terbaik untuk menjamin keselamatan serta kestabilan serantau.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar di Putrajaya selaku Pengerusi ASEAN.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com