KUALA LUMPUR: Keputusan Petronas mengimport gas asli cecair (LNG) tambahan dari Amerika Syarikat (AS) akan dibuat mengikut kemampuan dan keperluan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan Malaysia tidak akan mengambil bekalan melebihi jumlah yang disyaratkan, malah sebarang import akan tertakluk kepada terma komersial yang tidak membebankan Petronas atau negara.
“Saya tidak fikir ini menjadi masalah kerana kita hanya mengimport apa yang diperlukan, berdasarkan syarat komersial yang munasabah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai impak prasyarat AS yang menetapkan import LNG tambahan bernilai US$3.4 bilion setahun atau bersamaan 4 juta tan metrik setahun kepada Petronas.
Menurut Perdana Menteri, perlu diingat Malaysia juga adalah pengeksport LNG dan jika harga yang ditawarkan kompetitif, projek itu boleh dilaksanakan secara konvensional dengan justifikasi yang kukuh.
“Kita akan mengimport tambahan termasuk dari AS jika ia menguntungkan kerana keperluan dalam negara, manakala pengeluaran kita masih diperlukan di Jepun, Korea dan China. Permintaan dari China juga sangat tinggi,” katanya.