Monday, 18, August, 2025
Utama Nasional Tiada yang terlepas dalam kes kematian Zara Qairina

Tiada yang terlepas dalam kes kematian Zara Qairina

oleh Ammar Haziq

LARUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak berkuasa akan memastikan semua individu yang terbabit dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memutarbelit fakta atau mewujudkan persepsi negatif dengan menyalahkan pihak tertentu secara terburu-buru.

“Polis sedang menjalankan siasatan dan saya ulangi sekali lagi, tiada seorang pun yang terlibat akan terlepas daripada tindakan,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Kompleks Tenusu Farm Fresh, Perak, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kerajaan komited membela golongan rentan termasuk petani dan nelayan.

“Setiap Jumaat sebelum solat, saya turun sendiri ke warung untuk berjumpa rakyat, dengar keluhan mereka dan pastikan keperluan asas mencukupi. Saya tidak perlu tunggu kempen pilihan raya untuk dekat dengan rakyat,” katanya.

Selesai majlis, Perdana Menteri meninjau projek pembinaan jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau, Larut Matang Selama (LMS) Fasa Dua di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR).

Projek bernilai RM91 juta itu membabitkan pembinaan jalan sepanjang 6.6 kilometer, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk serta meningkatkan akses, memperkukuh sektor pertanian dan perusahaan ladang di kawasan terbabit.

Ketika ini, projek berkenaan mencapai 70.5 peratus kemajuan, melepasi jadual asal 62.6 peratus dengan kelebihan 59 hari, dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2026.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com