Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional KPKT perkenal pembelajaran hibrid,jadual anjal

KPKT perkenal pembelajaran hibrid,jadual anjal

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dalam usaha membantu meringankan kos pengajian selain memberi ruang yang fleksibel kepada penuntut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu, pelajar hanya diwajibkan menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

Manakala jelas beliau untuk tahun di pertengahannya pula pelajar akan menentukan sendiri pengajian mereka tanpa perlu hadir secara fizikal dalam kelas. 

Katanya, sehingga kini sebanyak 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA) di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024.

“Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja. Melalui, inisiatif ini, mereka boleh menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

“Ia juga akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Khaled berucap pada majlis penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Khaled berkata KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program Ijazah Sarjana Muda daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.

Katanya, pihaknya sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Oleh itu, kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak.

“Atas dasar berkenaan selari dengan konsep MADANI yang diperkenalkan kerajaan, sebanyak 44 program pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

“Sekali lagi, dengan pemendekan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung.

“Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com