Monday, 18, August, 2025
Utama Ekonomi Pengumuman lebih penting ketika Belanjawan 2026 – PM

Pengumuman lebih penting ketika Belanjawan 2026 – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan membuat pengumuman besar dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini.

“Pengumuman itu lebih penting, Insya-Allah akan saya umumkan pada hari belanjawan Oktober nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan beliau disambut sorakan dan tepukan gemuruh penjawat awam yang hadir pada majlis tersebut.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam atas peranan besar mereka dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

“Negara kita tidak akan mencapai pengiktirafan dan kejayaan seperti hari ini tanpa sumbangan, pengorbanan dan khidmat cemerlang saudara-saudara semua. Terima kasih banyak,” katanya.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengesahkan Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025.

Belanjawan berkenaan akan menjadi yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, selain terus menekankan tiga tonggak utama Ekonomi Madani — melonjakkan pertumbuhan negara, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tadbir urus.

Menurut kenyataan itu lagi, penyediaan Belanjawan 2026 turut melibatkan sesi libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan ia selaras dengan keutamaan Ekonomi Madani.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com