LARUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memudah cara pendamaian antara Thailand dan Kemboja susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Beliau berkata, meskipun ada pihak tertentu yang enggan mengiktiraf usaha itu, hakikat bahawa kedua-dua negara memberikan kepercayaan kepada Malaysia membuktikan penghormatan tinggi terhadap kestabilan politik dan kekuatan ekonomi negara.
“Syukur Alhamdulillah, politik kita stabil, orang menghormati pembangunan ekonomi kita. Bila berlaku pergaduhan, mereka serahkan usaha perdamaian kepada kita. Satu dunia iktiraf, walaupun ada beberapa orang di Parlimen yang tidak mahu iktiraf, itu tidak mengapa,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Kompleks Tenusu Farm Fresh, Perak.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Terdahulu, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan dilaporkan mengiktiraf peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempertemukan Thailand dan Kemboja melalui mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
Sementara itu, Anwar berkata hubungan diplomatik yang erat memberi kelebihan besar kepada Malaysia, termasuk membuka ruang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
“…ketika berlaku konflik Thailand–Kemboja, susu Thailand tidak dapat masuk ke Kemboja, tetapi produk Farm Fresh Malaysia berjaya menembusi pasaran di sana.
“Saya beritahu, ini kerana hubungan kita dengan kedua-dua negara baik. Jika Farm Fresh mahu membuka ladang di Thailand, kerajaan akan beri kerjasama penuh,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kerajaan komited memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan memberi sokongan kepada industri tenusu.
Beliau menyifatkan pencapaian Farm Fresh Bhd wajar dijadikan contoh kerana bukan sahaja menghasilkan produk tenusu berkualiti, malah menyediakan peluang pekerjaan serta melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata Kompleks Farm Fresh Perak yang berkeluasan 828 ekar kini menempatkan 4,300 ekor lembu tenusu dengan pengeluaran 22,000 liter susu sehari.
“Dalam setahun, kompleks ini menghasilkan 10 juta liter susu, menjadikannya ladang tenusu terbesar dan paling produktif di Malaysia,” katanya sambil menambah kompleks itu menggaji 150 pekerja tempatan, kebanyakannya berusia bawah 30 tahun.
Selain mengeluarkan susu sendiri, Farm Fresh turut membeli bekalan daripada penternak kecil pada harga kompetitif, di samping menyalurkan biasiswa kepada 500 pelajar STPM tahun lalu dan memperkenalkan program tuisyen matematik untuk sekolah rendah bermula tahun ini.