Sunday, 19, May, 2024
Utama Nasional Perluas skop tugasan JAN dipertingkat

Perluas skop tugasan JAN dipertingkat

oleh admin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bidang tugas Jabatan Audit Negara (JAN) dipertingkat dengan meliputi kerangka ‘ombudsman’ dan tidak hanya terhad kepada peranan pengauditan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ketika ini masih di peringkat perbincangan untuk memastikan skop tugasan JAN diperkukuhkan.

“Berdasarkan prestasi Jabatan Audit Negara yang memuaskan dan teguran-teguran yang patut diberi perhatian oleh semua Jabatan Persekutuan dan negeri, saya sekarang sedang meneliti supaya dapat diperkukuh, diperluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara supaya tidak boleh merangkul apa yang disebut Institusi Hisbah (institusi yang memerhati dan meninjau).

“Jadi (perkara) ini masih dalam perbincangan tapi yang penting kita perluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama warga Jabatan Audit Negara di Putrajaya pada hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan bahawa Laporan Audit Negara bagi tahun ini akan dibahaskan di Parlimen.

Ujarnya, ia bagi memastikan tiada ketirisan berlaku serta memperbaiki sekiranya wujud kelemahan dalam kerajaan.

“Saya akan pastikan ia akan dibahaskan kalau ada kelemahan kita perbaiki, kalau ada pelanggaran kita betulkan.

“Kalau ada sesuatu penyalahgunaan kuasa kita pastikan ambil tindakan. Ketika saya di Kementerian Kewangan dulu saya memulakan satu tradisi.

“Setiap tahun Laporan Audit Negara ini saya anggap satu dokumen yang penting dan Kementerian Kewangan, mesti mengetuai satu tugas untuk meneliti semua laporan dan pastikan semua jabatan patuh, kalau tidak laporan sampai tahun depan diulang lagi masalah,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com