KUALA LUMPUR: Hubungan erat Malaysia dengan rakan serantau khususnya ASEAN membuka ruang kerjasama luas dalam pelbagai bidang termasuk pertanian dan tenusu berasaskan keyakinan serta kepercayaan rakan industri serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan sektor itu turut dipacu kesiapsiagaan sektor swasta, semangat kental usahawan tempatan serta integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) yang mempertingkatkan produktiviti, mengukuhkan rantaian nilai industri tenusu dan memacu inovasi pertanian moden.
“Saya berpeluang bersama masyarakat setempat di Pondok Tanjung (Perak) sempena peluncuran Karnival Usahawan Tenusu MADANI yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam memacu industri tenusu negara.
“Dalam ucapan, saya tekankan bahawa Malaysia merupakan negara yang bertuah bukan sahaja kaya dengan sumber tetapi turut menikmati hubungan erat dengan rakan-rakan serantau khususnya ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Perdana Menteri, melalui Ekonomi MADANI, kerajaan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan sektor swasta akan terus memperluas peluang ekonomi wilayah, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, mengukuhkan kedudukan usahawan tempatan serta memastikan hasil pembangunan dinikmati rakyat.
“Sebagai komitmen segera, saya turut umumkan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja infrastruktur mendesak di kawasan Daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI: Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, Larut, Perak.