Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat gempa bumi Maghribi

Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat gempa bumi Maghribi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Kerajaan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Maghribi pada Sabtu lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi satu kenyataan media berkata, sehingga kini semua rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat.

“Saya mengikuti secara dekat perkembangan terkini keadaan gempa bumi yang berlaku di Marrakesh, Maghribi pada 8 September 2023.

“Saya telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian.

“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Tambah Zambry, beliau akan berhubung dengan rakan sejawatnya di Maghribi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung bantuan yang diperlukan negara itu.

“Saya juga akan menghubungi rakan sejawatan saya, Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini bencana yang berlaku dan seterusnya menawarkan bentuk bantuan yang akan diperlukan sehingga kini.

“Salam takziah kepada Kerajaan Maghribi dan semua mangsa yang terlibat dalam bencana gempa bumi ini. Saya titipkan doa buat semua rakyat Maghribi,” jelasnya lagi.

Pada Sabtu, Maghribi dilanda gempa bumi dengan magnitud 7.0 yang disifatkan gempa bumi paling dasyat dalam tempoh enam dekad.
Ratusan bangunan musnah dan rosak teruk akibat gempa di sekitar Casablanca dan Marrakesh.

Sehingga kini, angka kematian meningkat kepada lebih 2,000 mangsa dan dijangka lebih ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan terjejas.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com