Wednesday, 20, August, 2025
Utama Gaya Hidup Projek mega perlu angkat budaya, tamadun dan teknologi baharu

Projek mega perlu angkat budaya, tamadun dan teknologi baharu

oleh Ammar Haziq

IPOH: Pembangunan projek mega di negara ini mesti berpaksikan budaya, tamadun serta teknologi baharu demi kepentingan rakyat, bukannya sekadar meniru model luar negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam mengejar arus pembangunan, ada pemaju yang hanya menciplak idea asing tanpa mengambil kira faktor cuaca, nilai masyarakat serta budaya setempat sehingga projek berkenaan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebab itu pembangunan baharu ini harus memikirkan soal rakyat, nilai masyarakat dan budaya. Ada gedung besar, projek megah yang akhirnya tidak membawa manfaat, selain sekadar membuat rakyat kagum… konsep itu kita tidak boleh pertahankan lagi.

“Negara MADANI harus sentiasa menyatuni rakyat. Jika tidak, MADANI hanya tinggal slogan. Maka, projek mega perlu mengangkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral, di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Anwar menegaskan, setiap projek mega mesti dirangka untuk memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah, bukan hanya memfokuskan kelompok berkemampuan tinggi.

“… kerana gedung ini akhirnya akan memerlukan ribuan pekerja dan ribuan pekerja itu tidak patut dihantar jauh dari tempat mereka bekerja. Semua itu harus difikirkan,” katanya.

Beliau turut menegur kecenderungan pemaju yang membina kawasan eksklusif untuk golongan berada, manakala perumahan rakyat pula ditolak ke kawasan hujung dan kurang strategik.

Dalam masa sama, katanya, pembinaan sekolah juga perlu dimasukkan dalam perancangan projek pembangunan berskala besar supaya keperluan pendidikan tidak diabaikan.

Anwar mendedahkan beliau terpaksa menegur secara keras pemaju dan pegawai di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana gagal merancang penyediaan sekolah dengan baik.

“Pemaju kata sudah ada sekolah berhampiran, tetapi kelasnya menampung 50 murid. Ini jelas tidak munasabah.

“Takkan untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah kita biarkan begitu sahaja. Di mana rasa prihatin kita? Sebab itu saya tegur,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com