KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit menjual rahsia negara, sambil menyifatkan perkara itu sebagai isu besar yang mengancam keselamatan negara.
Menurut Anwar, sekiranya kerajaan memilih untuk berlembut khususnya dengan pihak yang terbabit dalam operasi risikan, ia akan membawa malapetaka besar kepada Malaysia.
“Atas sebab itu saya telah meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar supaya memandang serius isu penyeludupan di selatan tanah air yang membawa kepada penahanan lima pegawai kanan ATM baru-baru ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Anwar turut memaklumkan perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini soal keselamatan negara. Tidak ada ruang untuk kompromi,” tegasnya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan ATM melalui Ops Sohor.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).