Friday, 22, August, 2025
Utama Nasional Bantuan masyarakat India tidak hanya tertumpu pada MITRA – PM

Bantuan masyarakat India tidak hanya tertumpu pada MITRA – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan dan bantuan kepada masyarakat India tidak hanya bergantung pada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sebaliknya disalurkan secara menyeluruh menerusi pelbagai kementerian.

Beliau berkata, selain peruntukan tahunan khusus sebanyak RM100 juta kepada MITRA, terdapat banyak program dengan dana besar disediakan di bawah kementerian lain yang memberi manfaat kepada kaum itu dalam bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan.

“Sebagai contoh, pada 2022 pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada masyarakat India berjumlah RM500 juta, manakala pada 2025 sudah mencecah RM1 bilion. Skim Jaminan Kredit Perumahan dengan dana RM1.2 bilion juga turut memberi manfaat kepada kaum itu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput), Anwar menjelaskan pandangan bahawa kerajaan tidak mempedulikan kaum India atau melengah-lengahkan peruntukan MITRA adalah tidak benar.

Beliau memaklumkan, pada 2024 hampir keseluruhan peruntukan MITRA sebanyak RM100 juta telah digunakan, dengan RM98.9 juta dibelanjakan memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India.

Antara bantuan lain termasuk subsidi pendidikan awal sebanyak RM9.3 juta, bantuan pengajian tinggi RM17.63 juta untuk pelajar B40 kaum India, serta pemberian 6,000 unit komputer riba bernilai RM2.99 juta secara berperingkat kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Bagi 2025, kerajaan menggunakan pendekatan berbeza dengan penyelarasan lebih baik antara MITRA dan kementerian. Contohnya, jika KPKT membelanjakan RM20 juta untuk projek perumahan masyarakat India, tambahan RM5 juta daripada MITRA akan disalurkan bagi menampung kekurangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM5 juta disediakan melalui Kementerian Pendidikan dengan sokongan MITRA bagi bantuan peralatan makmal ICT di 50 SJKT.

Kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta bagi mendaftarkan 200 kuil Hindu sebagai Pusat Komuniti Setempat di seluruh negara, manakala RM10 juta bantuan one-off disediakan melalui ICU JPM untuk penyelenggaraan kecil dan pembaikan rumah kediaman pekerja ladang India.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com