Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Vietnam, Malaysia mahu perkukuh usaha sama strategik

Vietnam, Malaysia mahu perkukuh usaha sama strategik

oleh admin

HANOI: Malaysia memberi keutamaan dan berhasrat untuk membangunkan perkongsian strategik dengan Vietnam, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Zambry dan rakan sejawatannya dari Vietnam, Bui Thanh Son, mempengerusikan bersama mesyuarat ketujuh Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik dan Teknikal antara kedua-dua negara, sempena lawatan rasminya ke Vietnam bermula 19 hingga 20 Julai.

Son berkata lawatan itu merupakan acara penting yang berlangsung di luar lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam, serta sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Vietnam-Malaysia tahun ini, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).

Memetik Bernama pada mesyuarat itu, kedua-dua pihak menumpukan kepada usaha menyemak dan menilai pelaksanaan perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin kanan kedua-dua negara, termasuk Program Tindakan untuk melaksana perkongsian strategik Vietnam-Malaysia bagi tempoh 2021-2025.

Mereka juga bersetuju untuk mencadangkan beberapa orientasi utama kepada Perdana Menteri kedua-dua negara dalam usaha untuk mempromosi perkongsian strategik pada masa akan datang.

Untuk itu, kedua-dua pihak akan meningkatkan penyelarasan bagi mempergiat pertukaran lawatan dan mesyuarat di semua peringkat dan merentasi semua saluran, serta pertukaran pegawai dan meluaskan kerjasama pertahanan dan keselamatan.

Kedua-dua negara akan berusaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$18 bilion tidak lama lagi supaya lebih seimbang, mengehadkan halangan perdagangan dan memanfaatkan peluang daripada perjanjian perdagangan serantau yang kedua-dua pihak sertai seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penting lain seperti teknologi marin, minyak dan gas, pendidikan dan latihan, buruh, pengangkutan, kebudayaan, sukan, pelancongan dan kerjasama antara lokaliti, dan dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), dan tenaga boleh baharu.

Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mempercepat pemeteraian dokumen kerjasama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam melatih kakitangan diplomatik.

Diplomat tertinggi berkenaan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama dan sepakat untuk terus menyelaras dan menyokong secara aktif antara satu sama lain di forum pelbagai hala.

Kedua-dua negara juga bersedia untuk menyertai negara anggota ASEAN yang lain dalam mengekalkan solidariti dan peranan utama ASEAN dalam menangani isu-isu strategik di rantau ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com