Saturday, 23, August, 2025
Utama Nasional Kerajaan tidak kompromi isu keselamatan negara, siasatan penuh penahanan pegawai ATM – PM

Kerajaan tidak kompromi isu keselamatan negara, siasatan penuh penahanan pegawai ATM – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara, khususnya membabitkan isu penyeludupan di selatan tanah air yang menyaksikan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Beliau berkata, atas sebab itu beliau telah mengarahkan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar agar menyiasat perkara tersebut dengan penuh ketegasan dan teliti.

“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) juga memberi perhatian serius. Semalam ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), perkara ini turut dibangkitkan. Kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini soal keselamatan negara dan tidak boleh berkompromi,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan menaik taraf indeks ancaman dengan memberi fokus kepada ancaman dari dalam, termasuk isu penyeludupan yang melibatkan pegawai kanan tentera.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima pegawai perisik tentera daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) menerusi Ops Sohor, sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit menjual rahsia negara, sambil menyifatkannya sebagai isu besar yang boleh mengundang malapetaka.

“Kalau kita mula kompromi dengan masalah pencerobohan dalam badan risikan, itu malapetaka bagi negara. Sebab itu saya sendiri memberi maklumat kepada Panglima ATM, Panglima Tentera Udara dan pengarah bahagian risikan. Saya tunggu laporan awal, tapi kita tidak akan berselindung,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan untuk dimasukkan dalam laporan awal siasatan, sambil menegaskan isu keselamatan negara tidak harus dilihat dari sudut parti politik atau ideologi.

Menurut Anwar, isu berkenaan sebenarnya sudah dikenal pasti sejak 2020, namun hanya kini berjaya dibongkar sepenuhnya selepas kerajaan memberi laluan penuh kepada SPRM untuk bertindak.

“Mengenai tindakan SPRM, saya setuju ini bukan perkara kecil. Ia melibatkan badan risikan negara. Berdasarkan kajian awal, perkara ini telah wujud sejak tahun 2020,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com