Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf Lebuhraya Gerik-Jeli

Kerajaan umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf Lebuhraya Gerik-Jeli

oleh admin

GERIK – Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menambah baik laluan Lebuhraya Timur Barat di Gerik-Jeli, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu menjadikan jumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan bernilai RM75.676 juta bagi projek menaik taraf jalan yang menghubungkan antara Perak dan Kelantan.

“Jadi, hari ini untuk jalan-jalan ini, walaupun permintaan (kos keseluruhan yang diperlukan) itu banyak, tidak mengapa…. nanti saya akan kaji dalam Belanjawan Madani yang kedua pada Oktober. Akan tetapi, hari ni saya boleh lulus tambahan (peruntukan) RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Jeti Awam Pulau Banding, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Setakat Jun, sebanyak RM44.728 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan turapan berkala setakat Jun.

Bakinya iaitu RM948,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala yang bukan melibatkan turapan jalan.

Media sebelum ini melaporkan, penggantian struktur laluan Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan bernilai RM80 juta antara perkara yang dibincangkan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan sumbangan sagu hati RM1,000 kepada setiap 87 keluarga bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan laluan itu dahulu, termasuk tiga yang terkorban tahun 1974.

Katanya insentif itu bagi mengenang jasa yang telah dicurahkan kesemua bekas kakitangan JKR terbabit dalam menyiapkan laluan sepanjang 123 kilometer (km) itu.

“Saya cari peruntukan bagi mengenang jasa mereka ini atas kerja-kerja dan khidmat mereka selama ini. Jadi saya luluskan sagu hati kepada tiap-tiap keluarga bernilai RM1,000,” katanya lagi.

Sementara itu, Alexander berkata kerja-kerja menaik taraf laluan berkenaan dijangka siap selewat-lewatnya tahun hadapan.

Lebuhraya Timur Barat mula dibina ada tahun 1967 dan dibuka pada secara rasmi pada 1 Julai 1982.

Projek menelan belanja RM205 juta itu dibangunkan bagi memudahkan perhubungan darat antara pantai timur dengan pantai barat Semenanjung Malaysia, selain menjadi salah satu usaha kerajaan melumpuhkan pergerakan pengganas komunis.

Pada 27 Ogos 1974 ketika para pekerja sedang melakukan tugas pembinaan, mereka telah diserang oleh pengganas komunis sehingga mengorbankan tiga nyawa pekerja JKR.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com