PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia menzahirkan komitmen bersama membina visi peradaban Islam yang adil, seimbang dan berteraskan nilai kemanusiaan melalui penyerahan rasmi Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia 2025 (MALINDO MADANI) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, di sini.
Deklarasi bersejarah itu diserahkan oleh Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia, Profesor Dr M Din Syamsuddin selepas solat Jumaat, hasil rangkuman pemikiran sarjana kedua-dua negara.
Dalam ucapannya, Din Syamsuddin menegaskan bahawa gagasan Negara MADANI yang dibawa oleh Anwar Ibrahim wajar dijadikan panduan bagi dunia Islam.
“Deklarasi ini adalah solusi bagi dunia. Malaysia dan Indonesia berpotensi menjadi model peradaban Islam yang adil dan seimbang, bukan hanya untuk rantau ini, malah untuk seluruh umat Islam. Kami berharap visi ini dapat diterapkan secara berkesan di Indonesia, Malaysia dan seterusnya ke seluruh dunia,” katanya.
Deklarasi MALINDO MADANI menggariskan lima perkara utama iaitu:
Pengembangan potensi peradaban Melayu-Islam sebagai teras tamadun Nusantara
Penekanan keseimbangan alam sekitar berbanding eksploitasi ekonomi
Pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat
Pemerkasaan sektor halal dan kewangan Islam ke arah ekonomi yang adil
Pengiktirafan kepelbagaian tamadun sebagai asas keharmonian sejagat
Inisiatif strategik ini menghimpunkan cendekiawan, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari Malaysia, Indonesia serta rantau serantau untuk membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Terdahulu, Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu kelabu turut menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah, disusuli bacaan Qunut Nazilah serta solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.
Khutbah bertajuk “Bangkit Membela Teguh Bersaudara” disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa bin Rodzali.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; serta Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.