Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan teliti kaedah tangani krisis penghijrahan cendekiawan

Kerajaan teliti kaedah tangani krisis penghijrahan cendekiawan

oleh Ammar Haziq

NEW YORK: Kerajaan sedang meneliti kaedah untuk menarik rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali menyumbang kepada negara dalam usaha menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang melibatkan mereka yang boleh menyumbang untuk kembali dan ditempatkan dalam bidang kompetensi tertentu untuk membantu Malaysia.

“Saya yakin ini boleh dilakukan, ia adalah berterusan…dan kita harus, seperti yang anda tahu kita telah lama menghadapi masalah penghijrahan golongan intelektual ini.

Golongan cendekiawan, ahli ekonomi terkemuka, akauntan terkemuka meninggalkan (negara) atau telah pergi, jadi sekarang kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai sistem yang boleh menggalakkan mereka untuk kembali dengan insentif,” katanya semasa menghadiri majlis makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di sini hari ini.

Anwar yang tiba di bandar raya ini pada Rabu, sebelum itu menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com