Friday, 24, October, 2025
Utama Nasional Semangat Jalur Gemilang tuntut rakyat utamakan perpaduan – PM

Semangat Jalur Gemilang tuntut rakyat utamakan perpaduan – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semangat Jalur Gemilang menuntut rakyat mengutamakan perpaduan, keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, penghayatan kemerdekaan bukan sahaja dilihat melalui sambutan tahunan, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk pembangunan yang saksama dan inklusif, selaras dengan janji pemimpin terdahulu ketika memperjuangkan kebebasan negara.

“Tidak ada negara yang mampu mencapai kemerdekaan tanpa semangat kerjasama, perpaduan dan jati diri. Namun dari masa ke masa, perkara ini sering dilupakan.

“Sebagai pengagum sejarah, saya tegaskan tidak ada negara boleh bertahan jika menerima hasutan kebencian antara kaum. Malaysia mesti belajar daripada pengalaman lalu dan jangan lupa bahawa kemerdekaan ini dibayar dengan harga yang tinggi nyawa, harta benda serta keringat semua kaum,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Menurut Anwar, hanya perjuangan kebangsaan mampu mengikat rakyat sebagai satu kesatuan meliputi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai sumber kekuatan negara.

Justeru, katanya, semua pihak perlu sentiasa menjaga sensitiviti kaum bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.

“Kita tidak boleh menafikan kepentingan kaum masing-masing, namun pada masa sama, semua pihak perlu insaf bahawa setiap kaum adalah sebahagian daripada kekuatan Malaysia,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com