Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Anwar mahu Malaysia jadi negara terunggul

Anwar mahu Malaysia jadi negara terunggul

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia memperoleh semula status yang dicapainya pada 1990-an dan menjadi negara unggul di rantau ini dari segi ekonomi, politik, tadbir urus baik, dan contoh masyarakat majmuk berbilang kaum.

Berucap pada Milken Institute Asia Summit 2023 di Singapura hari ini, beliau optimis matlamat itu boleh dicapai berdasarkan senario semasa dan pasukan yang ada.

“Kita harus mempercepatkan proses dan mempercepatkan reformasi yang dijanjikan kepada negara,” katanya pada sesi khas bertajuk ‘Bicara Bersama Perdana Menteri Malaysia’ yang disiarkan secara langsung dalam talian.

Anwar yang dilaporkan Bernama membayangkan Malaysia akan berkembang sebagai contoh masyarakat pelbagai kaum yang menghayati kemanusiaan dan belas kasihan.

Bagaimanapun, tegasnya, ia bergantung kepada keupayaan kerajaan mentadbir dengan adil dan saksama.

“Apa sahaja masalah yang perlu kita hadapi buat masa ini, dengan gelombang perkauman dan ketaasuban agama, saya percaya ia hanya menunggu masa. Dengan keyakinan, ketekunan, dan matlamat yang jelas, kita akan dapat membawa Malaysia ke hadapan,” katanya.

Ditanya mengenai ketidakstabilan politik yang membimbangkan pelabur luar, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan mempunyai majoriti kuat di Parlimen, sekali gus menafikan tanggapan mengenai ketidakstabilan politik di negara ini.

Beliau melahirkan keyakinan dengan dasar ekonomi yang tepat dan jelas, Malaysia boleh mencapai prestasi lebih baik berbanding 1990-an, berkat komitmen kerajaan terhadap tadbir urus baik – elemen yang jarang dimiliki kebanyakan negara membangun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com