TAWAU: Kerajaan mempertingkat pemantauan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas, terutamanya beras, kekal mencukupi menerusi pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, data masa nyata akan digunakan untuk mengenal pasti barangan yang mendapat permintaan tinggi dan membolehkan langkah segera diambil bagi mengelakkan gangguan bekalan di pasaran.
“Kita terima data pembelian secara masa nyata. Jika jumlah pembelian melepasi had tertentu, kita boleh kenal pasti barangan paling laris dan cari jalan memastikan bekalan mencukupi agar penerima masih boleh menebus di mana-mana lokasi.
“Untuk barangan seperti beras, ia di bawah kawal selia Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Saya akan minta KPKM buat anggaran kuantiti stok berdasarkan seminggu pelaksanaan SARA bagi elak gangguan bekalan,” katanya ketika meninjau pelaksanaan program itu di sebuah pasar raya di Merotai.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Fahmi berkata, isu bekalan barangan dalam program SARA akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan dan satu mekanisme khas akan digubal bagi menyelaraskan keseimbangan permintaan dan bekalan mengikut lokasi.
Beliau turut memaklumkan, tinjauan mendapati beras tempatan antara barangan paling laris hingga menyebabkan stok habis di sesetengah premis.
“Di DUN Merotai, hanya ada dua lokasi tebusan SARA. Kita akan buat kajian keperluan menambah lokasi berdasarkan permintaan semasa,” katanya.
Menurutnya, program SARA yang bermula dengan 700,000 penerima di kira-kira 2,000 premis kini telah berkembang kepada lebih 7,300 premis, dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan talian hotline khas susulan aduan daripada penerima serta petugas kaunter berkaitan masalah sistem yang tidak berfungsi pada waktu tertentu.