Saturday, 13, September, 2025
Utama Nasional Sukar terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu – PM

Sukar terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau menolak sikap segelintir rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu, sedangkan ia merupakan asas perpaduan dan identiti negara.

“Kita mesti tonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Saya sukar terima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Namun begitu, Anwar turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, khususnya dalam konteks kemajuan dan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

“Penguasaan bahasa Inggeris terlalu kritikal, sangat penting untuk negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu melipatgandakan usaha memperkukuh tahap penguasaan bahasa Inggeris terutama di universiti, tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group di ibu negara, Selasa lalu.

Dalam ucapannya, beliau turut menggalakkan penguasaan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Perancis sebagai langkah memperkayakan budaya dan ilmu di negara ini.

“Kalau kita benar percaya bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, maka tidak ada alasan untuk meminggirkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa lain. Itu sepatutnya jadi sikap kita,” katanya.

Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan permainan politik perkauman sempit yang dibawa oleh segelintir pihak berkepentingan.

“Kita tidak boleh benarkan minoriti yang terdesak menggunakan isu perkauman atau sentimen agama untuk menentukan hala tuju negara.

“Malaysia hanya akan berjaya jika setiap warganya – Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan lain-lain – merasakan mereka dilindungi dan dihargai,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa dasar keterangkuman yang merangkumi semua kaum adalah kunci kepada kejayaan dan kemajuan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com