Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Pembangkang jangan sombong – PM

Pembangkang jangan sombong – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pembangkang agar tidak sombong, sebaliknya berbincang dengan baik berkaitan permohonan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ia ekoran dakwaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan kerajaan menggalakkan rasuah dengan meletakkan syarat terhadap peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Bincang dengan baik, jangan sombong,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas program Kolokium Madani Perkhidmatan Awam di sini semalam.

Shahidan sebelum ini mempersoalkan kewajaran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang disyaratkan dengan meminta sokongan kepada kerajaan terlebih dahulu sebelum peruntukan itu diluluskan.

Shahidan berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah mengadakan rundingan membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sebanyak dua kali tetapi jawapannya adalah surat yang dihantar terdapat beberapa syarat ketat termasuk memberi sokongan sehingga habis penggal.

Minggu lalu, Ahli Parlimen pembangkang memberitahu bakal menghentikan rundingan atau permohonan peruntukan untuk kawasan mereka dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata beliau bertemu dua kali dengan Timbalan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai peruntukan kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com