Saturday, 13, September, 2025
Utama Ekonomi Malaysia kukuh sebagai hab semikonduktor, X-FAB labur RM3 bilion di Sarawak

Malaysia kukuh sebagai hab semikonduktor, X-FAB labur RM3 bilion di Sarawak

oleh Ammar Haziq

KUCHING: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini hasil kekuatan infrastruktur, rantaian bekalan menyeluruh serta tenaga kerja berkualiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekosistem industri semikonduktor negara kini semakin mantap, menjadikan Malaysia pilihan pelabur global termasuk syarikat berpangkalan di Jerman, X-FAB.

“Kita berjaya kerana memiliki infrastruktur lengkap, rantaian bekalan menyeluruh serta tenaga kerja yang berdisiplin,” katanya ketika merasmikan pembesaran kemudahan pembuatan semikonduktor X-FAB bernilai RM3 bilion di Taman Teknologi Tinggi Samajaya pada Jumaat.

Namun, beliau mengakui cabaran utama yang dihadapi negara ialah kekurangan pakar industri semikonduktor bertaraf antarabangsa.

“Walaupun kita mempunyai tenaga kerja rajin dan berdedikasi, sinergi antara industri dan universiti perlu diperkukuh supaya graduan lebih bersedia menyertai industri,” jelasnya.

Perdana Menteri turut mengiktiraf langkah universiti tempatan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang selari dengan agenda kerajaan memacu teknologi tinggi.

Katanya, universiti mempunyai kepakaran, tetapi mereka perlu bergandingan rapat dengan industri supaya latihan dan penyelidikan lebih praktikal dan relevan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada X-FAB atas keyakinan berterusan melabur di Malaysia, khususnya di Sarawak.

“Pelaburan RM3 bilion ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan progresif kerajaan negeri Sarawak di bawah Premier Tan Sri Abang Johari Abang Openg. Kerjasama erat kerajaan negeri memudahkan usaha kerajaan Persekutuan mempercepatkan agenda pelaburan,” katanya.

Menurut Anwar, sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global yang semakin kompetitif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com