KUALA LUMPUR: Pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bersama pelaksanaan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) disifatkan sebagai antara reformasi radikal Parlimen Malaysia bagi memastikan institusi perundangan tertinggi negara benar-benar bebas dan berperanan dalam mengukuhkan kebertanggungjawaban demokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan pada sidang Parlimen baru-baru ini adalah satu pencapaian besar apabila mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang untuk membebaskan Parlimen daripada pengurusan eksekutif.
Beliau menjelaskan, sesi PMQT pula menjadi wadah penting apabila ketua kerajaan perlu menjawab soalan secara langsung daripada Ahli Parlimen setiap minggu sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
“Saya sendiri berdepan cabaran di Dewan, khususnya apabila sesi PMQT diperkenalkan. Pada awalnya saya tidak pasti sama ada langkah itu tepat, tetapi kini ia menjadi tanggungjawab mingguan saya. Walaupun terdapat pelbagai pandangan, saya mesti nyatakan ia wacana sihat yang memastikan Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa bersiap siaga, sekali gus memberi makna sebenar kepada kebertanggungjawaban demokratik,” katanya.
Menurut Anwar, demokrasi tidak boleh hanya dilihat sebagai proses pilihan raya setiap empat atau lima tahun, sebaliknya ia menuntut ruang bagi parti pemerintah dipersoalkan, dikritik serta dinilai rakyat, di samping memastikan Ahli Parlimen menunaikan janji dan peranan mereka.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Beliau turut menegaskan perkembangan di beberapa negara ASEAN dan luar rantau menunjukkan bukan sahaja kerajaan, malah Ahli Parlimen turut menjadi perhatian rakyat, sama ada dalam menggunakan pengaruh untuk kepentingan diri atau benar-benar berkhidmat demi rakyat.
“Setiap tindakan anggota kerajaan dan Ahli Parlimen mesti menghormati semangat Perlembagaan, sumpah jawatan serta tanggungjawab kepada rakyat. Mereka berhak untuk bertanya dan mempersoalkan,” katanya.
Anwar menambah, perkembangan politik beberapa minggu kebelakangan ini menjadi peringatan keras kepada semua — sama ada kerajaan, pembangkang, Ahli Parlimen, Ahli Kongres mahupun Senator — mengenai keperluan mengekalkan integriti dan kebertanggungjawaban dalam sistem demokrasi.