Friday, 19, September, 2025
Utama Nasional Pembangunan Kampung Baru perlu seimbang, hormati warisan dan hak rakyat

Pembangunan Kampung Baru perlu seimbang, hormati warisan dan hak rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal dengan pendirian menghargai warisan sejarah sambil merangka pembangunan yang adil serta seimbang demi manfaat rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengenai latar sejarah, masa depan dan hala tuju pembangunan Kampung Baru adalah seiring dengan dasar kerajaan.

“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat. Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya beriltizam memastikan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang menjadi kepentingan nasional,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru ditangani dengan teliti serta berhemah, dengan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda tidak menghalang Kampung Baru dibangunkan sejajar peredaran zaman, namun menekankan syaratnya mesti jelas dan berpihak kepada masyarakat Melayu.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan agar semua pihak mengambil kira sejarah asal penubuhan dan nilai warisan Kampung Baru dalam setiap pertimbangan.

Kampung Baru yang ditubuhkan pada 1899 diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com