KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa supaya proses membaik pulih bangunan kuarters di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat tanah runtuh dipercepatkan.
Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu laporan penuh daripada Kementerian Pendidikan (KPM) selepas menerima laporan awal yang dibentangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.
“Kita menunggu laporan akhir yang saya minta segera,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di IPG Kampus Gaya, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir dalam tinjauan itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut Anwar, proses pemulihan perlu dipercepatkan kerana prosedur biasa mengambil masa terlalu lama.
“Kalau ikut proses biasa mahu siapkan jalan atau kemudahan akan ambil masa yang panjang. Jadi kita sudah minta supaya proses ini dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata, rundingan lanjut bersama kerajaan negeri akan diadakan selepas laporan penuh kejuruteraan diterima.
“Soal prasarana termasuk jalan dan IPG ini satu keutamaan. Kita tunggu laporan sama ada boleh terus bangunkan semula di kawasan ini, atau kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membangunkan semula di lokasi lain dalam tempoh segera,” katanya.
Mengenai kos membaik pulih, Anwar menjelaskan anggaran kewangan belum dikemukakan setakat ini.
Rabu lalu, media melaporkan KPM mengarahkan pengosongan serta-merta bangunan kuarters berhampiran kawasan tanah runtuh di IPG Kampus Gaya bagi menjamin keselamatan warga kampus.