LABUAN: Kerajaan memberi isyarat bersedia meluaskan manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pengusaha bot penumpang kecil, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kumpulan ini wajar dipertimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada penduduk setempat, terutama di kawasan pulau dan pedalaman.
“Kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti pengusaha bot yang layak supaya bantuan ini dapat dilaksanakan dengan adil dan berkesan tanpa penyelewengan.
“Jika pengusaha bot penumpang turut dimasukkan, ia akan mengukuhkan lagi objektif subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada golongan benar-benar memerlukan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di sini.
Beliau menjelaskan, skim itu menunjukkan sambutan menggalakkan dengan rekod pembelian RON95 mencecah RM3.7 juta hanya sehari selepas dilancarkan, melibatkan kumpulan awal seperti anggota polis, tentera dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Amir Hamzah menambah, peluasan skim kepada pengusaha bot penumpang kecil bukan sahaja mengurangkan kos operasi mereka, malah memberi kelegaan kepada masyarakat setempat yang bergantung pada pengangkutan air sebagai laluan utama kehidupan harian.