KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak boleh menutup pintu perdagangan hanya kerana perbezaan politik atau dasar luar dengan mana-mana negara.
Menurut beliau, sebagai sebuah ekonomi yang bergantung rapat kepada rantaian global, Malaysia perlu bijak menyeimbangkan prinsip moral dengan kepentingan ekonomi agar tidak menjejaskan pertumbuhan.
“Keupayaan mengimbangi kedua-duanya inilah yang menjadikan Malaysia meskipun negara kecil, tetap mampu bersuara tegas dan berpengaruh di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di platform X.
Anwar turut mengakui wujud ketidaksefahaman isu semasa dengan beberapa negara seperti China, India, ASEAN serta Eropah, namun masih wujud ruang perbincangan bagi mencari jalan tengah tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara.
Beliau menekankan bahawa memilih konfrontasi hanya akan merugikan Malaysia sendiri, terutama apabila melibatkan eksport utama bernilai ratusan bilion ringgit seperti semikonduktor ke Amerika Syarikat dan China.
“Jika langkah itu dipilih, siapakah sebenarnya yang akan menerima padah? Adakah rakyat kita atau pihak luar yang cuba dihukum?” soal beliau.
Terdahulu, Anwar menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2026 bersama pemain industri pelancongan dan pembuatan di Banda Hilir, Melaka.
Katanya, pembentangan belanjawan kali ini akan mengambil kira kekuatan serta keutamaan ekonomi setiap negeri, bukan ditentukan semata-mata di peringkat kementerian.
Pendekatan itu, jelasnya, akan memastikan pertumbuhan lebih seimbang di seluruh negara serta membantu rakyat mengatasi tekanan kos sara hidup.
“Melaka sebagai contoh mempunyai potensi besar dalam pelancongan dan sektor pembuatan yang kini menyumbang kepada pencapaian ekonomi negeri yang positif,” tambahnya.