Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan pertimbang perluasan BUDI95 pengusaha bot di Sabah, Sarawak

Kerajaan pertimbang perluasan BUDI95 pengusaha bot di Sabah, Sarawak

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju meneliti pemberian manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pengusaha bot, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan kumpulan itu turut menikmati harga subsidi petrol RON95.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Kementerian Kewangan kini bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta kerajaan negeri bagi mengumpulkan data pemilik bot agar mereka tidak terpinggir daripada menerima subsidi berkenaan.

“Had kelayakan tambahan dengan pihak e-hailing pada minggu ini kerajaan juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga subsidi. Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri berkenaan bagi mengumpul data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, pada Selasa.

Menurutnya, Kementerian Kewangan bersama APAD akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan subsidi petrol bersubsidi dengan pihak e-hailing dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa sejak pelaksanaan BUDI95 pada 27 September lalu, sistem berkenaan berjalan lancar dengan pengesahan MyKad di stesen minyak tanpa sebarang gangguan.

Setakat jam 7 malam, 29 September, hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan transaksi BUDI95, melibatkan pembelian 21.8 juta liter RON95 bernilai RM43.7 juta.

Bermula 30 September, inisiatif itu diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak, dengan kerajaan menetapkan harga runcit tanpa subsidi bagi RON95 pada kadar RM2.60 seliter bagi Oktober 2025.

“Penerima BUDI95 kekal menikmati harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus memberikan manfaat penjimatan sebanyak 61 sen seliter,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com