KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengetuai delegasi ke Singapura minggu depan bagi mengadakan perbincangan teknikal bersama platform media sosial antarabangsa berhubung mekanisme menangani jenayah siber.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan pengesahan elektronik Know-Your-Customer (eKYC) menggunakan MyKad, pasport atau MyDigital ID bagi menghalang penjenayah siber daripada menyalahgunakan platform berkenaan.
“Hasratnya untuk mengekang penjenayah daripada menyalahgunakan platform, terutama apabila ada jualan palsu ataupun jualan bahan narkotik terlarang dalam platform seperti Facebook dan aktiviti scam yang kita dapati banyak berlaku dalam platform ini.
“Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, lebih 150,000 kandungan berkaitan judi dalam talian dan penipuan direkodkan di Facebook. Setiap satu kandungan mengambil masa 30 minit untuk diturunkan, dan ini membazirkan masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Fahmi berkata, penjenayah mengambil kesempatan daripada akses Internet yang murah dan pantas di Malaysia untuk memperdaya mangsa melalui iklan jualan palsu, promosi bahan terlarang serta skim penipuan.
“Antara kes impersonation (penyamaran) yang paling banyak berlaku ialah melibatkan pakar mata Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad. Sejak dua tahun lepas hingga kini, akaun palsu menggunakan nama beliau masih wujud dan menjual produk tidak benar sehingga memangsakan ramai orang,” katanya.
Beliau menambah, menjelang hujung tahun ini Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) akan dikuatkuasakan, yang antara lain mewajibkan platform media sosial mengambil tindakan menyeluruh untuk menyekat kandungan dikategorikan sebagai mudarat dalam talian.
“Jawatankuasa keselamatan dalam talian di bawah Menteri Undang-Undang akan memberikan arahan, manakala MCMC akan melaksanakan penguatkuasaan dengan hasrat antaranya memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial,” katanya.
Dalam ucapannya terdahulu, Fahmi menekankan penjawat awam perlu memperkukuh ketahanan mental serta mengamalkan prinsip Zero Trust (kepercayaan sifar) dalam menghadapi era ‘infodemik’, selain memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan beban kerja dan menepis berita palsu.
Beliau turut mengingatkan bahawa penularan salah maklumat dan penipuan siber boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk tokoh kenegaraan, sekali gus menuntut budaya semakan maklumat diamalkan secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam.
Menyentuh aspek kesihatan mental, Fahmi berkata data saringan Profiling Digital Kesihatan Psikologi (MyPsyD) menunjukkan seramai 1.17 juta penjawat awam telah dinilai, dengan lima peratus daripadanya dikenal pasti berada pada tahap risiko tinggi.
Sebanyak 35 peratus lagi berada pada tahap risiko sederhana, menuntut kepimpinan agar lebih peka, menyediakan ruang kerja yang munasabah serta menggalakkan sokongan dalam kalangan pasukan.
Beliau turut menasihatkan penjawat awam agar berdisiplin ketika menggunakan media sosial.
Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 yang bermula hari ini membawa tema “AI dan Pesona Diri: Kemandirian di Era Infodemik”, menekankan peranan teknologi kecerdasan buatan sebagai pelengkap pemikiran manusia serta usaha memperkukuh daya tahan mental penjawat awam.