Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional PM guna saluran diplomatik tertinggi desak bebas 12 sukarelawan Malaysia

PM guna saluran diplomatik tertinggi desak bebas 12 sukarelawan Malaysia

oleh Ammar Haziq

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menggunakan rangkaian diplomasi antarabangsa bagi menuntut pembebasan segera 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, Anwar akan segera menghubungi beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi serta kepimpinan Arab Saudi.

Selain itu, Malaysia turut merancang untuk mengadakan perundingan dengan kuasa besar lain seperti United Kingdom dan Sepanyol dalam usaha memberi tekanan diplomatik agar semua delegasi dibebaskan tanpa syarat.

“Tindakan Israel memintas flotila kemanusiaan ini jelas tidak berasas kerana konvoi tersebut mematuhi undang-undang antarabangsa dan hanya membawa bantuan kemanusiaan. Perdana Menteri sendiri menegaskan komitmen beliau sebagai penaung utama misi untuk memastikan semua sukarelawan pulang dengan selamat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Sani, Perdana Menteri turut memberi perhatian langsung terhadap usaha diplomatik berkenaan, selain menegaskan misi tersebut mendapat dukungan penuh kerajaan.

Maklumat terkini daripada sukarelawan Malaysia mengesahkan keadaan mereka masih terkawal, walaupun tentera Israel dilapor menggunakan meriam air bertekanan tinggi untuk menakutkan peserta konvoi.

Difahamkan, flotila yang disertai lebih 500 aktivis antarabangsa dari 45 negara kini sedang diiring keluar ke lokasi yang belum dipastikan, namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Misi GSF yang berlepas dari sebuah pelabuhan di Eropah sejak Ogos lalu membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan.

Konvoi itu disertai doktor, peguam, ahli politik serta wakil pertubuhan masyarakat sivil dari Asia, Eropah, Afrika dan Asia Barat.

Insiden ini mengingatkan kembali tragedi tahun 2010 apabila kapal Mavi Marmara yang membawa aktivis antarabangsa turut dipintas Israel, mengakibatkan sembilan nyawa terkorban serta mencetuskan kecaman global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com