KUALA LUMPUR: Penulis dan penganalisis politik, Mustafa Ali menegaskan penahanan Murray Hunter di Thailand tidak wajar dikaitkan dengan kerajaan Malaysia kerana tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan tersebut.
Beliau berkata, Hunter ditahan oleh pihak berkuasa Thailand mengikut undang-undang negara itu, bukan atas campur tangan Malaysia.
“Thailand ialah negara berdaulat dengan sistem penguatkuasaan sendiri. Menyandarkan penahanan itu kepada desakan Malaysia adalah tuduhan serius yang memerlukan bukti, bukan sekadar sangkaan,” katanya.
Menurut Mustafa, Malaysia tidak pernah mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Hunter walaupun beliau sudah lama menulis kritikan terhadap kerajaan dan institusi negara.
Sebaliknya, katanya, ruang demokrasi di Malaysia masih terbuka luas dengan pelbagai kritikan terbuka daripada ahli politik, aktivis dan NGO tanpa dikenakan tindakan selagi tidak melanggar undang-undang.
Mustafa turut menegaskan MCMC hanya bertindak berlandaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bukannya atas arahan politik.
“Malaysia tidak menghukum individu hanya kerana mengkritik kerajaan. Tetapi fitnah, maklumat palsu serta kandungan yang menjejaskan keselamatan dan keharmonian awam tetap salah di sisi undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata, Hunter gagal mengemukakan sebarang bukti sahih dalam dakwaannya dan lebih banyak bersandar pada naratif peribadi yang boleh menimbulkan persepsi salah terhadap Malaysia.
“Jika benar beliau menjadi mangsa salah guna kuasa, gunakan saluran undang-undang atau diplomatik rasmi. Membuat tuduhan terbuka tanpa asas hanya merosakkan integriti wacana awam,” tegas Mustafa.
Katanya lagi, Malaysia menghormati kebebasan bersuara, namun kebebasan itu mesti dipikul bersama tanggungjawab dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan tidak berasas.