Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional Banyak reaksi positif diplomat di New York berbanding dakwaan Sanusi di Pelangai

Banyak reaksi positif diplomat di New York berbanding dakwaan Sanusi di Pelangai

oleh Ammar Haziq

New York: Pelbagai pihak memberi reaksi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan Kenyataan Negara di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada pagi Jumaat lalu.

Namun yang positif mengatasi yang negatif membabitkan kelompok pembangkang dan warga netizen yang mewakili golongan anti kerajaan dan Perdana Menteri.

Ini termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkannya sebagai hambar dan gagal mendapat perhatian pemimpin dunia.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan Kenyataan Negara cukup memalukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di Bentong, malam kelmarin.

Namun, dalam kalangan mereka yang hadir di kompleks PBB di New York, termasuk perwakilan asing dan diplomat berpandangan sebaliknya dengan memuji Malaysia dan Anwar.

Dalam sidang media di akhir penampilan sulung beliau sebagai Perdana Menteri di pentas PBB itu, media Malaysia dimaklumkan oleh pegawai Malaysia bahawa sejurus selesai ucapan, delegasi dan pegawai negara menerima reaksi positif terhadap ucapan Perdana Menteri ketika mereka berada di kompleks PBB.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata ramai yang mengucapkan tahniah, antaranya Vietnam, Indonesia, Brunei, Singapura dan Maldives.

“Kita dapat reaksi positif ramai kalangan diplomat memuji kita dan memaklumkan pendirian dan ketegasan Malaysia di PBB mendapat perhatian banyak pihak,” katanya.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga memaklumkan beliau menerima ucapan tahniah daripada rakan sejawat daripada banyak negara berhubung ucapan Anwar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pula berkata pelbagai program dalam aturcara perbincangan Anwar dengan pemimpin industri bakal membawa impak besar dalam sektor ekonomi dan pelaburan di Malaysia.

Katanya, butiran dan keputusan perbincangan Anwar bersama pemimpin industri syarikat gergasi akan bersambung di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco pada November depan yang juga akan diketuai oleh Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com