Tuesday, 7, October, 2025
Utama Ekonomi PM fokus sesi akhir perancangan Belanjawan MADANI 2026

PM fokus sesi akhir perancangan Belanjawan MADANI 2026

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menumpukan perhatian terhadap sesi akhir penyediaan Belanjawan MADANI 2026 bersama pasukan Perbendaharaan di Kementerian Kewangan menjelang pembentangan rasmi pada 10 Oktober ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor meneliti aspek terakhir perancangan fiskal, termasuk keutamaan negeri, dasar pengukuhan ekonomi serta langkah menangani tekanan kos sara hidup rakyat.

Menurut kenyataan ringkas di laman media sosial beliau, sesi itu memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar antara kementerian dan memastikan pendekatan belanjawan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Belanjawan kali ini merupakan yang keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan juga belanjawan pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ia dijangka memberi fokus kepada tiga teras utama, iaitu meningkatkan daya saing negara (menaikkan siling), memperkukuh perkhidmatan asas rakyat (menaikkan lantai), serta memperkasakan tadbir urus kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih cekap dan berintegriti.

Sebelum ini, ketika menghadiri sesi libat urus bersama pemain industri di Melaka, Anwar menegaskan bahawa penyediaan belanjawan akan mengambil kira keutamaan ekonomi setiap negeri, bukan sekadar pandangan kementerian di peringkat pusat.

Pendekatan itu, katanya, penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi seimbang dan inklusif di seluruh negara, di samping menangani isu ketidaksamarataan pembangunan wilayah.

Belanjawan MADANI 2026 turut dijangka menekankan strategi memperkukuh pelaburan dalam bidang teknologi, inovasi dan bakat tempatan, selain menambah baik penyampaian perkhidmatan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas.

Pembentangan rasmi belanjawan akan dilakukan di Dewan Rakyat pada Jumaat depan, dengan tumpuan utama kepada kesejahteraan rakyat serta pengurusan fiskal berhemat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com