KUALA LUMPUR: Kerjasama erat antara Malaysia dan Pakistan bukan sahaja memperluas peluang ekonomi, malah memperkukuh perpaduan dunia Islam melalui perdagangan, pelaburan dan industri halal.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hubungan dua hala yang kukuh itu turut memberi ruang lebih luas kepada kedua-dua negara untuk membina jaringan ekonomi strategik yang berdaya tahan dan inklusif.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif dalam pertemuan dua hala di Kuala Lumpur hari ini.
“Pemimpin kedua-dua negara menegaskan ikatan persahabatan yang kukuh serta aspirasi bersama untuk memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri halal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi berkata, kedua-dua pihak berpuas hati dengan kemajuan semasa pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang menjadi asas penting dalam mempertingkat kerjasama ekonomi dua hala.
Beliau berkata, Malaysia turut menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan tinggi dalam sektor pemprosesan makanan dan pembuatan negara itu.
Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang halal termasuk pengiktirafan bersama pensijilan halal, memperkukuh rantaian bekalan makanan halal dan perkongsian amalan terbaik.
“Insya-Allah, Malaysia dan Pakistan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik serta ekonomi, selaras dengan matlamat untuk memajukan dunia Islam secara bersama,” katanya.
Shehbaz tiba di Malaysia malam semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri.
Pesawat khas membawa beliau dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.46 malam dan disambut oleh Fahmi.
Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik sejak 1957, sebelum ia ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.