Monday, 28, April, 2025
Utama Nasional Islam larang perbuatan persenda takbir hari raya

Islam larang perbuatan persenda takbir hari raya

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Islam melarang perbuatan mempersenda atau menyindir takbir hari raya kerana ia juga merupakan perbuatan menghina agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Hanifuddin Roslan berkata sebagai umat Islam, setiap lafaz mengagungkan Allah perlu dimuliakan.

Ini kerana katanya, kalimah takbir itu merupakan sunah yang dilafazkan setiap kali Aidilfitri atau Aidiladha tiba.

“Dalam konteks agama ia menghina agama. Sedangkan ayat itu mengandungi kalimah yang membesarkan dan mengagungkan Allah, jadi umat Islam wajib memuliakan takbir raya dan menjauhi sebarang bentuk penghinaan terhadapnya.

“Sepatutnya sesama umat Islam juga wajar menghargai orang yang bertakbir, tidak sepatutnya ia dijadikan bahan negatif untuk disampaikan kepada orang lain.

“Sudahlah pihak terbabit (yang mempersendakan takbir) tidak menjiwai Islam dia malah merendah-rendahkan Allah,” katanya.

Mengulas lanjut Hanifuddin berkata
perbuatan mempermainkan takbir raya juga boleh menimbulkan fitnah daripada masyarakat bukan Muslim apabila mereka melihat umat ini tergamak memperlekehkan agama sendiri.

“Kedua, perbuatan itu mungkin berisiko menjadi ikutan oleh orang lain khususnya generasi muda,” katanya.

Baru-baru ini beberapa video rakaman suara takbir Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disunting dan dijadikan bahan gurauan pihak yang tidak bertanggung jawab.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, takbir raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah atas segala nikmat-Nya.

Justeru, katanya, tidak ada mana-mana umat Islam wajar mempermainkan takbir raya walaupun kerana perbezaan ideologi politik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com