SINTOK – Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, menerima sumbangan berupa komputer riba dan wang tunai RM1,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Balai Tamu UUM pada Selasa.
Ahli Lembaga Pengarah YPM, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sumbangan tersebut merupakan janji yang ditunaikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan kisah pelajar berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, sumbangan tersebut melambangkan keprihatinan pihaknya dan Mara terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang gigih menuntut ilmu walaupun berdepan kesukaran.
“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi dorongan buat Putera untuk terus bersemangat dalam pelajaran dan berjaya mengharumkan nama universiti, agama, bangsa dan negara,” katanya.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.
Sementara itu, Putera Iman Shah yang ditemui kelihatan terharu dengan penghargaan itu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya.
“Sumbangan ini benar-benar meringankan beban saya dan memberi semangat baharu untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya berazam untuk berjaya dan suatu hari nanti menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.
Dalam majlis sama, beberapa pelajar daripada keluarga B40 turut menerima sumbangan komputer riba sebagai usaha berterusan YPM membantu pelajar yang memerlukan kemudahan pembelajaran lebih baik.
Pada 23 September lalu, Sinar Harian melaporkan Putera Imam Shah yang juga anak tunggal yatim mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) tanpa ditemani sesiapa.
Kisahnya yang hanya berbekalkan semangat dan kenangan bersama arwah ibu serta ayah yang sudah pergi menghadap Ilahi tular di media sosial dan menjadi perhatian pelbagai pihak.