Tuesday, 14, October, 2025
Utama Ekonomi Belanjawan 2026: RM66.2 bilion untuk pendidikan, reformasi dan prasarana sekolah

Belanjawan 2026: RM66.2 bilion untuk pendidikan, reformasi dan prasarana sekolah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI terus menegaskan komitmen untuk memartabatkan pendidikan sebagai tonggak utama pembangunan negara dengan menyalurkan peruntukan besar berjumlah RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2026. Jumlah itu meningkat daripada RM64.2 bilion tahun ini, sekali gus menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap agenda pendidikan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu meliputi pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada reformasi sistem pendidikan agar lebih tangkas, menyeluruh dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Dalam dunia yang serba rumit, ditandai persaingan sengit ekonomi, ledakan kecerdasan buatan dan perubahan iklim yang mendesak, pendidikan tidak boleh lagi terbatas pada membaca dan menulis. Kita mahu kemenjadian anak bangsa yang berfikir, beradab, berdaya saing dan berani mencipta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut beliau, antara langkah utama ialah pelaksanaan pendidikan menengah wajib susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Anwar berkata, kerajaan turut memperuntukkan hampir RM2 bilion bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, dengan tumpuan khas kepada sekolah di Sabah dan Sarawak, supaya murid di luar bandar menikmati kemudahan setara dengan kawasan bandar.

Selain itu, kerja membaik pulih kemudahan murid dan bilik guru akan diteruskan, selepas kejayaan kerajaan memperbaiki tandas, kantin dan musolla sekolah dalam tempoh singkat tahun lalu.

Beliau turut mengumumkan pembinaan 38 sekolah baharu di seluruh negara, meliputi sekolah rendah dan menengah di Johor, Selangor, Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin meningkat, selain memastikan kapasiti sekolah awam terus mencukupi untuk generasi masa depan,” katanya.

Kerajaan juga bersetuju membina semula dua sekolah vernakular yang dikenal pasti uzur, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Ladang Jeram di Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Aik Hua di Perak.

Menurut Anwar, keseluruhan pendekatan ini adalah sebahagian daripada reformasi pendidikan negara yang menekankan pembangunan insan seimbang — bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sahsiah, adab dan nilai kemanusiaan.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan besar ini adalah cerminan kesungguhan kerajaan untuk membentuk generasi Malaysia yang berilmu, berakhlak dan mampu bersaing di peringkat global, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com