Tuesday, 14, October, 2025
Utama Nasional Kerajaan salur RM34.81 juta, baiki 137 pondok dan tahfiz seluruh negara

Kerajaan salur RM34.81 juta, baiki 137 pondok dan tahfiz seluruh negara

oleh Ammar Haziq

IPOH: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM34.81 juta bagi melaksanakan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara, termasuk lapan di Perak, sebagai usaha memperkukuh integrasi pendidikan kerohanian dan akhlak dalam sistem pembelajaran negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dana itu akan digunakan bagi kerja pembaikan segera melibatkan kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah bagi memastikan keselesaan pelajar serta tenaga pengajar di institusi berkenaan.

Menurut beliau, beberapa sekolah pondok dikenal pasti berada dalam keadaan daif dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan aktiviti pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih selesa dan selamat.

“Sebanyak 137 pondok telah disenaraikan, termasuk lapan di Perak, bagi keutamaan pembaikan fasa awal.

“Selepas pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan akan meneliti tambahan peruntukan agar kemudahan asas di semua institusi ini dapat dipertingkatkan secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, di sini.

Anwar menegaskan, tumpuan terhadap institusi tahfiz dan pondok bukan sekadar soal fizikal semata-mata, tetapi juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh pembangunan rohani dan akhlak anak-anak bangsa sebagai asas kepada pembentukan modal insan MADANI.

Katanya lagi, kerajaan komited memastikan institusi pondok dan tahfiz terus menjadi benteng kekuatan ilmu serta moral masyarakat melalui pendekatan lebih holistik yang menggabungkan kemajuan duniawi dengan nilai spiritual.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com