Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional PM rai keluarga bekas rektor UIAM di Riyadh

PM rai keluarga bekas rektor UIAM di Riyadh

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur: Di sebalik jadual padat sepanjang lawatan kerja dua hari ke Riyadh, Arab Saudi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa meraikan keluarga pemikir Islam tersohor Allahyarham Syeikh Prof Abu Hamid Abu Sulayman.

Allahyarham Syeikh Prof Abu Hamid adalah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menerusi catatan di Facebook beliau, Anwar yang berkongsi beberapa keping gambar pertemuan itu berkata, antara karya penting Syeikh Prof Abu Hamid yang sering dirujuk ialah Crisis in the Muslim Mind dan Islamization of Knowledge.

“Pertemuan dengan Faekah (isteri Syeikh Prof Abu Hamid) dan anak-anak menggamit kembali memori persahabatan lama keluarga kami sejak 1970-an khususnya pengalaman bersama membangunkan UIAM sebagai institusi pendidikan tinggi yang telah melahirkan ramai graduan dari seluruh dunia,” katanya.

Anwar tiba di Riyadh pada Khamis bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semalam dan beliau telah mengetengahkan konflik semasa Palestin-Israel.

Perdana Menteri juga menghadiri majlis ramah mesra dengan rakyat Malaysia di Arab Saudi selain mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Islam Sedunia Dr Muhammad bin Abdulkarim Al-Issa di pejabat liga berkenaan, semalam.

Hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aramco Amin H Nasser diikuti dengan beberapa lagi pertemuan dengan kapten industri dan firma gergasi Arab Saudi.

Beliau juga dijadual menghadap Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas jemputan peribadi baginda bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com