KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Belanjawan MADANI Keempat yang dibentangkan semalam merupakan bukti nyata keberanian kerajaan menterjemah agenda reformasi kepada tindakan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat.
Beliau berkata, belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” itu menandakan permulaan lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, pengurangan defisit fiskal, peningkatan kebajikan rakyat serta pemacuan ekonomi berasaskan nilai tinggi.
“Setelah berani mengusung reformasi, inilah masanya memulangkan hasil kepada rakyat. Belanjawan MADANI Keempat yang saya hamparkan semalam membuka lembaran pertama di bawah RMK13, memaknai erti reformasi yang kini diterjemah kepada tindakan dan hasil nyata,” katanya dalam satu hantaran di platform X.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, belanjawan kali ini menggabungkan disiplin dan nurani dalam merencana masa depan negara yang lebih adil, makmur dan bermaruah.
Menurutnya, belanjawan itu turut mengoptimumkan sumber negara, termasuk dana daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan serta syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD].
“Pendekatan ini memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berhemah dan berimpak kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, jumlah perbelanjaan awam bagi tahun depan meningkat kepada RM470 bilion, berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Anwar menegaskan, reformasi yang dilaksanakan bukan sekadar perubahan dasar, tetapi menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberanian politik dalam membuat keputusan demi kepentingan rakyat.
“Reformasi ini bukan slogan, tetapi janji yang sedang kita tunaikan. Ia bermula dengan pembaharuan struktur, kini diterjemah melalui belanjawan yang membawa hasil nyata,” katanya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan belanjawan ini akan mengimbangi keperluan fiskal dan sosial, sambil memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terus dilindungi.
“Kerajaan bertekad memastikan tiada golongan terpinggir, dan setiap inisiatif berpaksikan kesejahteraan rakyat biasa,” ujar beliau.
Belanjawan MADANI Keempat turut menekankan pendigitalan ekonomi, pembangunan hijau, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial bagi menghadapi cabaran global masa depan.
Anwar berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan keselamatan makanan sebagai asas kepada kemakmuran inklusif negara.
“Agenda MADANI ini bukan hanya tentang angka, tetapi tentang manusia – memastikan setiap rakyat merasai hasil pembangunan negara,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar bersama mendukung semangat reformasi, demi Malaysia yang lebih berdaya saing, berintegriti dan berperikemanusiaan.