KUALA LUMPUR – Kejayaan kerajaan memulihkan semula dana negara berjumlah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun membuktikan kesungguhan pentadbiran MADANI dalam memperkukuh tadbir urus serta melaksanakan dasar sifar toleransi terhadap rasuah dan ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil tindakan tegas pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan kuasa, sindiket serta kartel yang sebelum ini merugikan negara dalam jumlah besar.
Namun, beliau mengakui sukar untuk memahami bagaimana amalan rasuah mampu berakar begitu lama dalam negara yang mempunyai sistem tadbir urus yang dianggap baik.
“Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana mungkin dalam sebuah negara seperti Malaysia yang secara relatifnya mempunyai tadbir urus yang baik. kita masih berdepan dengan isu sebegini? Ini menunjukkan wujud budaya bertolak ansur terhadap perbuatan rasuah sejak sekian lama,” katanya ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Dunia (GIFF) 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Anwar memberi contoh, jika setiap tahun negara kehilangan RM5 bilion akibat kegiatan penyelewengan dan kartel, jumlah kerugian dalam tempoh sedekad pastinya amat besar serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan tadbir urus yang baik perlu menjadi asas kepada semua inisiatif, termasuk dalam bidang kewangan Islam, bagi memastikan pelaksanaannya bukan sekadar bersifat simbolik.
“Apabila kita bercakap tentang Maqasid Syariah, ia mesti bermula dengan tadbir urus yang baik. Pemimpin, profesional, ahli akademik dan penjawat awam harus sentiasa diingatkan bahawa matlamat utama ialah memastikan nilai, keadilan dan integriti tidak dikorbankan demi keuntungan semata-mata,” tegas beliau.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan rampasan dana dan pemulihan aset negara membuktikan langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan berada di landasan betul serta perlu diteruskan secara menyeluruh.
Katanya, tadbir urus yang mantap adalah prasyarat penting untuk memastikan ekonomi Islam dan instrumen kewangan patuh syariah benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak.
“Apabila sistem pentadbiran negara berada dalam keadaan teratur, barulah inisiatif Islam dan kewangan Islam dapat menyerlah serta menjadi tonggak kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” ujar beliau.
Anwar juga menyeru semua pihak dalam industri kewangan Islam agar terus memperkukuh komitmen terhadap nilai keadilan dan integriti sebagai sebahagian daripada kerangka besar Maqasid Syariah.
“Instrumen kewangan Islam bukan sekadar alat untuk mencari keuntungan, tetapi harus menjadi pemacu kepada pertumbuhan yang seimbang dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.
GIFF 2025 yang memasuki edisi kelapan menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar serta pakar kewangan Islam dari seluruh dunia untuk membincangkan masa depan kewangan Islam dan inovasi produk patuh syariah, selain memperkukuh kerjasama antara negara anggota OIC dan pasaran sedang pesat membangun.