PUTRAJAYA – Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49 meluluskan Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat yang digubal oleh PLANMalaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebagai usaha mengoptimumkan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi.
KPKT dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu mencerminkan kemajuan penting dalam merangka model pendidikan bandar yang mampan dan moden, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperakukan cadangan pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil oleh PR1MA, yang akan menampilkan rumah pintar, sekolah vertikal, sistem mobiliti pintar serta penggunaan teknologi tenaga boleh baharu mulai tahun depan.
Menurut kenyataan itu, MPFN turut mengambil maklum Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 11 Jun lalu, menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
Pelan tersebut berhasrat menjadikan ibu negara lebih inklusif, mampan dan berdaya huni menjelang 2040.
Selain itu, mesyuarat juga meneliti Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya, melibatkan 47 projek baharu serta 80 projek naik taraf jalan raya dengan jarak keseluruhan 2,388 kilometer.
Kajian itu, jelas kenyataan tersebut, menggambarkan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah, meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar serta memperkukuh akses pengangkutan yang lebih selamat dan moden di seluruh negara.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam mesyuarat kali ini, terdiri daripada empat kertas persetujuan dan dua kertas makluman yang memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal mampan serta keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian.
Langkah-langkah yang dipersetujui dalam MPFN 49 itu menegaskan keazaman kerajaan untuk memastikan pembangunan bandar Malaysia terus bergerak seiring dengan teknologi baharu tanpa mengorbankan aspek sosial dan ekologi.