LANGKAWI – Dua bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Rozi Mamat dan Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu apabila kembali ke menara gading sebagai pelajar pascasiswazah di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kedua-dua tokoh yang pernah memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri itu kini memilih jalan yang lebih sunyi tetapi penuh makna, dengan menyambung pengajian masing-masing demi memperkaya jiwa dan memberi sumbangan berterusan kepada masyarakat.
Rozi, 54, kini mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang kerja sosial, manakala Muhammad Pehimi, 63, sedang menyiapkan penyelidikan Doktor Falsafah (PhD) di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Zainudin Omar.
Mereka ditemui ketika menghadiri International Correctional and Counselling Conference (ICCC) 2025 di Langkawi, sebuah persidangan ilmiah yang menghimpunkan cendekiawan dari seluruh dunia.
Menurut Rozi, keputusan untuk kembali ke dunia akademik bukan sesuatu yang mudah, namun ia lahir daripada keinginan mendalam untuk terus belajar dan memahami realiti masyarakat, khususnya generasi muda.
“Saya ingin hidup setiap saat dalam belajar. Dunia pendidikan bukan hanya tentang diri sendiri, tetapi membuatkan saya lebih dekat dengan dunia anak-anak Terengganu yang sedang belajar dari sekolah rendah hingga ke universiti,” katanya.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Exco Pertanian dan Asas Tani (2008–2010), Exco Belia dan Sukan (2011–2013) serta Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia (2013–2018), berkata setiap kali mencatat nota di kuliah, beliau terbayang wajah anak-anak muda di kampung yang sedang bergelut mencari arah hidup.
“Saya mahu memahami dunia mereka supaya saya tidak putus dengan realiti sebenar rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Pehimi menyifatkan perjalanan menuntut ilmu sebagai satu musim baharu dalam hidupnya selepas meninggalkan dunia politik.
“PhD ini bukan tiket untuk saya mencari kerja. Ia tentang kepuasan diri dalam perjalanan membedah makna ilmu. Saya mahu anak-anak serta cucu-cucu saya melihat bahawa menuntut ilmu itu tidak pernah berhenti,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa dunia penyelidikan jauh berbeza daripada dunia politik yang penuh sorakan dan tepukan, namun setiap helaian tesis dan bimbingan penyelia memberi makna mendalam tentang perjuangan sebenar dalam hidup.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, menyifatkan kehadiran mereka sebagai sesuatu yang amat bermakna bukan sahaja kepada universiti, malah kepada pelajar lain.
“Kehadiran mereka yang berpengalaman bukan sahaja memperkayakan suasana pembelajaran, malah membawa nilai dunia sebenar ke dalam bilik kuliah,” katanya.