Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Kedah mohon pusat laksana larangan rentas sempadan kekang kluster tawar

Kedah mohon pusat laksana larangan rentas sempadan kekang kluster tawar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR- Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, Kedah telah mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan larangan merentas sempadan daerah susulan penularan Kluster Tawar di negeri ini.

Jelasnya, semalam pihaknya telahpun menyatakan cadangan tersebut namun tiada pengumuman dibuat mengenainya oleh pusat setakat ini.

“Kedah harap cadangan itu dipertimbangkan sebaiknya memandangkan kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mengumumkan pelaksanaan terbabit.

“Kita hantar cadangan yang sama untuk dipertimbangkan sekali lagi dan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memanggil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mesyuarat dengan segera,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya, penduduk perlu mematuhi beberapa larangan merentas sempadan yang akan diputuskan kelak.

“Dalam kawasan itu boleh keluar, boleh berniaga cuma dia tak boleh rentas ke kawasan lain. Sebabnya kita nampak Kluster Tawar ini dah merebak ke banyak tempat,”katanya.

Terdapat 3 kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah pada hari ini justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 73 kes.

Sehingga 26 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 4,051 orang telah disaring dalam kluster ini. -KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com